|
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, masyarakat Melayu tidak seharusnya terus bersikap terlalu defensif sehinggakan kadang-kala rasa bersalah untuk membangkitkan sesuatu perkara yang jelas adalah hak mereka. ''Apa salahnya buat tuntutan secara tersurat dan mengapa mahu rasa defensif kerana kita kena ingat UMNO adalah milik orang Melayu dan diakui merupakan tunjang kepada Barisan Nasional (BN). ''Hakikatnya dalam negara demokrasi, kita tahu kita yang paling ramai tetapi malangnya kita berpecah maka kuasa majoriti mudah terlepas dan golongan lain mengambil kesempatan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sepang di sini hari ini. Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, apabila kuasa politik orang Melayu terhakis, maka golongan lain mula membuat tuntutan masing-masing. Kata-kata Mukhriz – Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian. Kenapa Melayu perlu defensif, kata Mukhriz dalam memperjuangkan agenda Melayu? Kita Melayu berpecah, kata Mukhriz. Ini mungkin menjadikan golongan minoriti yang lebih dominan dalam pengiraan demokrasi khususnya dalam kita berdepan dengan pilihan raya. Adakah dengan mempersoalkan mengenai kenapa perlu defensif maka kita perlu ofensif. Adakah ini membawa maksud kita harus berani mempersoalkan kedudukan kita dan memperjuangkan hak Melayu dengan lebih agresif lagi. Persoalannya adalah UMNO sendiri berani menjadi ofensif dalam membicarakan hak Melayu? Bagi www.umno-reform2.com komplikasi perjuangan UMNO dalam menentukan hak orang Melayu harus di ubah bersesuaian dengan kedudukan dan landskap politik semasa. Benar, Melayu akan jadi minoriti – bukan dalam erti kata pengiraan kependudukan tetapi minoriti dalam semua aspek – politik, ekonomi dan sosial. Adakah perpecahan ini akan menjadikan hak Melayu semakin terhakis? Adakah penghakisan Melayu hanya diukur melalui partisipasi perniagaan atau kekuatan Melayu harus dinilai dari sudut kedudukan Melayu dalam masyarakat. Kalau perjuangan memperbaiki kedudukan Melayu semakin didesak diadakan – maka adakah ini membawa maksud Melayu tertindas selama ini? Adakah mungkin bila kaum lain mengatakan mereka tertindas sebenarnya Melayu itu sendiri tertindas dan terperangkap? Adakah Melayu yang sebenarnya tertindas sehingga gagal menyaingi kaum lain dari segi pembangunan fizikal atau adakah kuasa-kuasa di tangan Melayu sudah terseret kepada kaum lain. Melayu hari ini tersepit antara perjuangan politik dan perjuangan bangsa. Prioriti masih gagal melihat bahawa perjuangan Melayu perlu dinobatkan sebagai perjuangan utama UMNO sebelum kita diheret untuk mengangguk mengikut kedudukan politik yang ada tanpa memikirkan untuk membeli kembali maruah Melayu yang semakin hilang. Kita bicara isu ini?
|