|
Kadang-kadang kita lupa. Kerangkanya adalah Malaysia. Cuma ada satu sahaja. Di dalam kerangka itu berbagai-bagai corak – berbagai-bagai budaya – berbagai-bagai agama – fahaman dan budaya. Semua berbeza-beza tetapi terikat dalam satu kerangka – 1 Malaysia. Namun baru-baru ini 1 Malaysia di kejutkan dengan realiti perbezaan antara agama – antara budaya dan antara adat dan kepercayaan. Perbezaan secara realitinya wujud dan makna 1 Malaysia lebih di perjelaskan – lebih disedarkan. Adakah insiden panggilan bantahan penggunaan nama ALLAH – pembakaran gereja – serangan terhadap rumah ibadat bukan Islam ini mencalarkan dan melukakan makna 1 Malaysia atau sebenarnya memberi makna tepat mengenai 1 Malaysia – bahawa ia masih berbeza dan asas 1 Malaysia adalah konsep berteraskan toleransi dan bukan persamaan tetapi permuafakatan. Ini mungkin perlu kita tanamkan, kita terangkan dan kita terapkan kepada rakyat Malaysia khususnya yang meletakkan 1 Malaysia pada asas persamaan – kesamarataan dalam semua aspek – termasuk politik. Pengukuran 1 Malaysia bukan buat atas konteks asimilasi – yang mana dominasi sesuatu kaum di cairkan – dan minoriti sesuatu kaum di tingkatkan untuk mengadakan “equilibrium” yang dapat di terima oleh semua kaum. Ini tidak akan dapat di capai malah ini akan lebih menyulitkan dan menyentuh sensitiviti khususnya kaum yang selama ini dominan dan mempunyai majoriti besar. Apa yang berlaku hari ini adalah susulan ujian pertama apa yang dikatakan 1 Malaysia – menunjukkan teras 1 Malaysia adalah pada toleransi – ada perbezaan tetapi ada perpaduan. Kerangka besar dalam ukuran 1 Malaysia seharusnya mengambil semua faktor termasuk perundingan awal kehadiran kaum lain – partisipasi ekonomi – kedudukan sosiopolitik kaum – adat dan budaya. Kerangka besar ini mengungkit sejarah – kontrak sosial dan kefahaman kenapa keutamaan diperuntukkan kepada satu-satu kaum tetapi tidak mendiskriminasikan kaum-kaum lain. Keutamaan ini bukan percuma tetapi adalah atas toleransi dan pengorbanan yang telah dilakukan. Ini meniti nilai keadilan dalam kerangka besar 1 Malaysia. Penjelasan ini perlu dilakukan bukan untuk tidak mengelirukan. Kekeliruan akan berlaku sekiranya kesempatan membentuk kerangka 1 Malaysia atas dasar kefahaman – keadilan – toleransi di manipulasi untuk tujuan tertentu. Ini tidak akan membantu dalam membentuk keharmonian dan perpaduan. Kita mesti sedar bahawa penghujung 1 Malaysia adalah untuk perpaduan – semangat kekitaan dalam konteks Malaysia namun isolasi kekitaan dalam konteks kaum tetap wujud atas perbezaan yang ada khususnya melibatkan soal-soal kebudayaan – adat dan agama. Adakah ini semua difahami oleh masyarakat kita dalam mengertikan 1 Malaysia? Adakah kefahaman ini sudah diterapkan dalam minda kita – 1 Malaysia bukan satu formula menyamakan yang berbeza tetapi lebih kepada mewujudkan perpaduan dan keharmonian dalam perbezaan yang sedia ada. Adakah persoalan kesamarataan dan keadilan difahami – makna hak keistimewaan di definisi sebagai satu bentuk toleransi antara semua kaum yang ada? Ini penting kerana kekeliruan akan hanya menyebabkan kekusutan dan ini akan memberi impak yang buruk terhadap apa yang mahu di usahakan oleh kerajaan – apa yang dimahukan oleh rakyat serta makna keharmonian dan perpaduan. Usaha ini bukan usaha mudah. 1 Malaysia adalah kekuatan yang perlu ada – menyokong dan menjadi tulang belakang kepada keutuhan Malaysia tetapi mampu menjadikan rapuh dan memberi impak negatif sekiranya penerimaan adalah berbeza – antara kaum-kaum di negara kita ini. Malaysia hari ini bukan berdepan dengan cabaran baru dalam membicarakan mengenai isu perkauman. Malaysia masih berdepan dengan perbezaan kehendak – perbezaan definisi khususnya makna hak keistimewaan dan nilai sebenarnya keadilan. Langkah awal penerangan dan penerapan 1 Malaysia harus diperjelaskan – bukan dengan slogan – pengiklanan – nyanyian tetapi ketetapan penerapan asas – kefahaman mengenai kerangka besar – sejarah – keadilan sosial – kontrak sosial dan penjelasan konkrit. Langkah baru – kefahaman ini bukan sahaja perlu menyentuh sensitiviti perasaan tetapi logik pelaksanaan – memberi kefahaman kepada asas pembentukan masyarakat berbagai-bagai kaum. Setidak-tidak kita kena menanam benih-benih kefahaman – penjelasan toleransi yang perlu ada berdasar fakta yang wujud dan tidak mengambil sesuatu berdasar pandangan singkat kita. Usaha perlu diadakan untuk membesarkan ruangan – untuk semua kaum dalam masa yang sama – memberi tumpuan dan memperkasakan hak yang telah dinikmati oleh kaum Melayu sesuai dengan pengorbanan yang telah dilakukan. Asas mengingatkan semula nilai kompromi orang Melayu – berserta pembesaran ruangan untuk kaum lain ada perlu ada agar perasaan diskriminasi itu tidak wujud. Justeru itu, 1 Malaysia yang mahu dilaksanakan hari ini perlu penilaian segera dari segi pelaksanaan – penerapan. Ini adalah kerana 1 Malaysia bukan satu konsep fizikal tetapi lebih kepada penetapan nilai dalam masyarakat yang ada hari ini. Ini melibatkan kefahaman dan toleransi menyeluruh oleh semua kaum dan toleransi ini akan wujud apabila kefahaman menyeluruh ada dan dapat digerakkan dengan teratur. Namun satu musuh besar yang perlu kerajaan berdepan adalah sentimen yang sentiasa di terbitkan – bertujuan tidak lain tidak bukan – mendapat loncatan politik. Ini adalah satu permainan yang perlu dielakkan baik kerajaan mahupun pihak lawan dalam struktur politik negara kita ini. SATU Malaysia adalah SATU matlamat dan SATU cita-cita bersama. Ia adalah satu kerangka besar yang mengikat – mengabung semua perbezaan dalam perpaduan untuk satu cita-cita bersama. Ia ada satu pandangan bersama – satu jalan seiringan bukan mengakis perbezaan dan menginjak dan memaksa menjadi SATU.
|